Wednesday, September 22, 2010

Berita Panas:Kes Bunuh Sosilawati:Lagi Mangsa Dipercayai Dibunuh

Kontraktor, rakan hilang selepas temui suspek utama kes pembunuhan
jutawan kosmetik


KUALA LUMPUR: Dua lagi individu, Shafik Abdullah, 37, dan sahabat baiknya semalam disahkan hilang selepas menemui suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, April lalu.
Shafik seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah bersama rakannya itu dilaporkan hilang oleh keluarga mereka lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan. Sumber memberitahu Berita Harian, buat masa ini, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kaitannya dengan suspek utama kes Sosilawati.
Kehilangan mereka sudah dirujuk kepada Ibu pejabat Polis Daerah (Brickfields) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, melihat kepada modus operandinya, besar kemungkinan kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama, katanya.

Sumber berkata, modus operandi kehilangan dua sahabat itu hampir sama dengan kes membabitkan jutawan kosmetik berkenaan sebelum dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 di sebuah ladang persendirian milik suspek di Morib, Banting.
Kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing hendak ke ibu negara bertemu seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati atas urusan perniagaan sebelum hilang.

Malah, telefon bimbit juga gagal dihubungi, menyebabkan keluarga masing-masing diselubungi kebimbangan, lebih-lebih lagi selepas kes Sosilawati terbongkar.

Polis menemui kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis.

Polis ketika itu menyiasatnya sebagai kes orang hilang sehinggalah pembunuhan kejam Sosilawati terbongkar kerana kedua-dua mangsa dipercayai menemui peguam yang sama, katanya.
Petikan Berita Harian

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Berita Panas:Kes Bunuh Sosilawati:Lagi Mangsa Dipercayai Dibunuh"

Post a Comment